Testimoni Kursus Rawatan Syifa Pancaran Nur

Alhamdulillah, kami telah menerima beberapa testimoni dari peserta-peserta yang mengikuti Kursus Rawatan Syifa Pancaran Nur pada 28 April lalu. Berikut merupakan testimoni-testimoni yang kami terima;

Alhamdulillah, syukur dan berharap kursus seperti ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang. Kursus ini cukup sempurna dari segi makanan, kuliah pembelajaran, tempat, pengajar. – Erwan, Shah Alam.

Pembelajaran semua baik dan dapat diamalkan. Makan pun baik! – Abdullah, Pulau Pinang.

Segala modul dan pembelajaran begitu lengkap, ringkas serta mudah untuk diamalkan. – Siti Fatimah, Puchong.

Terima kasih atas segala ilmu yang diberi, semoga kursus sebegini sentiasa dilaksanakan pada masa akan datang. – Nurrul, Wangsa Maju,

Alhamdulillah, ilmu-ilmu bonus banyak diberikan. Tempat kursus, makanan dan minuman ok. Penerangan dan penjelasan juga ok! Terima kasih. – Khairi, Kuala Selangor.

Dari segi pembelajaran semua baik dan dapat diamalkan. Makanan pun baik. – Azhar, Pulau Pinang.

Kami juga menerima beberapa komen dan cadangan bagi membaikkan lagi perjalanan kursus ini seperti supaya diadakan tayangan slide dan video, menambah lagi kaedah rawatan, masa yang singkat dan berbagai lagi. Insya Allah kami akan terus membaiki segala kelemahan kami.

Mereka sudah pun mengambil ilmu daripada kami untuk dimanfaatkan, anda bila lagi? Boleh daftar segera untuk Kursus Rawatan Syifa Pancaran Nur pada 26 Mei ini.

Hizbul Bahr (Hizib Bahar)

Hizbul Bahr حِزب البحر atau Hizib Bahar merupakan antara hizib yang termasyhur seperti Hizib Nanawi, Ratib Al Haddad dan lain-lain. Tujuan pengamalan hizib-hizib ini ialah untuk membawa diri seseorang untuk lebih dekat dan rapat dengan Allah azza wa jalla di samping mengharapkan keredhaan Allah dalam mengamalkannya. Dengan hizib kita boleh memohon agar disampaikan hajat, diluaskan rezeki, keselamatan diri dan berbagai lagi manfaat kerana di dalam hizib tersebut terdapat zikir dan doa-doa.

Seperti Ratib Al Haddad yang dikarang boleh Al-Imam Al-Qutub Abdullah bin Alawi Al-Haddad iaitu merupakan wali qutub pada zamannya, Hizib Bahar ini diilhamkan Allah kepada seorang lagi wali qutub pada zamannya iaitu Al-Imam Al-Qutub Abu Hassan Asy-Syazuli yang nasab keturunannya sampai kepada Sayyiduna Hasan bin Ali Bin Abu Thalib, suami Fatimah binti Muhammad bin Abdullah, Kekasih Allah.

Sejarah Hizib Bahar ini tercipta ketika mana Imam Abu Hassan Asy-Syazuli ingin menunaikan haji di Makkah. Rombongan bersiap siaga untuk kelengkapan bermusafir dan menuju haji di Makkah. Mereka menggunakan jalan laut untuk ke Makkah. Mereka menaiki sebuah kapal yang nakhodanya merupakan seorang Nasrani.

Ketika di tengah-tengah laut, angin tidak bertiup seperti biasa. Ini menyukarkan perjalanan untuk sampai ke Makkah. Bukan setakat sehari, malah berhari-hari. Semua anak kapal menjadi gelisah. Hal ini menyebabkan pertolongan Allah datang kepada mereka melalui mimpi Al-Imam Abu Hasan Asy-Syazuli yang bertemu dengan Rasulullah dan Baginda dalam mimpi tersebut mengajarkan Al-Imam Abu Hasan Asy-Syazuli akan hizib ini.

Selepas sedar dari lelapnya, Al-Imam Abu Hasan Asy-Syazuli terus membaca hizib ini. Dan dengan berkat bacaan hizib tersebut maka pertolongan Allah pun tiba di mana angin mula bertiup kembali. Malah angin tersebut membuatkan perjalanan semakin singkat. Disebabkan kejadian ini, nakhoda kapal yang beragama Nasrani itu memeluk agama Islam.

Doa dan zikir ini kemudian diabadikan oleh Al-Imam Abu Hasan Asy-Syazuli dan diajarkan kepada anak-anak murid dan kemudian diberi nama Hizbul Bahr iaitu Doa atau Senjata Laut. Wasiat Al-Imam Abu Hasan Asy-Syazuli, “Suruhlah anak-anak kalian menghafal hizib ini kerana di dalamnya terdapat nama Allah Yang Maha Agung”.

Dalam bidang rawatan spiritual, Hizib Bahar juga boleh dibaca kepada pesakit yang kerasukan, boleh dibaca untuk membuat air penawar dan berbagai lagi faedah yang hanya diketahui oleh pengamalnya.

Rawatan Syifa’ Pancaran Nur 28 April

Alhamdulillah, Kursus Rawatan Syifa’ Pancaran Nur yang diadakan pada 28 April lalu berjalan dengan lancar. Walaupun banyak dugaan pada hari tersebut terutamanya pada awal pagi kerana banyak laluan ditutup kerana perhimpunan BERSIH 3.0, tetapi itu tidak menjadi penghalang dan Allah telah membuka jalan untuk kami bersama-sama pada hari tersebut untuk mendalami kaedah rawatan Pancaran Nur.

Kami mengucapkan terima kasih kepada yang hadir dan teruja dengan semangat yang ditunjukkan oleh para peserta walaupun banyak dugaan untuk hadir ke kursus. Kami telah menerima beberapa testimoni dan alhamdulillah rata-rata peserta amat berpuas hati dengan kaedah yang kami ajarkan dan ilmu yang kami kongsikan. Ada beberapa komen seperti agar dipanjangkan waktu pembelajaran atau membuat dua hari untuk kursus ini. Insya Allah kami akan pertimbangkan.

Kami juga menerima panggilan pada 27 April untuk mendaftar pada hari kursus keesokan hari tetapi kami terpaksa menolak permintaan itu kerana pendaftaran ditutup tiga hari sebelum hari kursus.

Jadi, jangan lepaskan peluang untuk mengikuti kursus pada bulan Mei yang akan diadakan pada 26 Mei 2012 (Sabtu) pada tempat yang sama. Daftar segera sebelum tiada tempat untuk anda. Terbuka kepada 20 orang peserta saja.

DAFTAR KURSUS RAWATAN SYIFA’ PANCARAN NUR -

Kursus Rawatan Syifa’ Pancaran Nur Mei 2012

Bagi mereka yang berminat untuk mengikut Kursus Rawatan Syifa’ Pancaran Nur, Insya Allah kami akan mengadakan kursus tersebut pada 26 Mei 2012 bertempat di Hotel Royal Kuala Lumpur (Bukit Bintang).

Bagi mereka yang berminat boleh daftar mulai sekarang kerana kami hanya menerima 20 orang peserta untuk setiap kali kursus. Boleh membuat pendaftaran secara online atau pun SMS butiran kepada kami.

Kami sering kali menerima pertanyaan tentang kursus yang kami adakan seperti bolehkah menghabiskan kesemua silibus dalam satu hari, adakah kaedah yang digunakan sukar dan amalan berat untuk diamalkan.

Jawapan kami, Ya! Kami akan menghabiskan kesemua silibus dalam satu hari bermula pagi ke petang. Kaedah yang digunakan untuk merawat mudah. Amalan yang kami berikan juga tidak memerlukan masa berjam-jam untuk diamalkan. Kaedah kami mudah, amalan yang sama untuk merawat kesemua penyakit di dalam silibus.

Kami juga akan menambah satu lagi silibus iaitu Kaedah “Scanning” Penyakit bagi mereka yang mengikuti kursus pada bulan hadapan. Insya Allah.

Majlis Perjumpaan Tertutup Bersama Habib Umar bin Hafiz & Ulama Negeri Sembilan

Alhamdulillah, kami Pancaran Nur berkesempatan untuk menjadi tetamu bagi majlis perjumpaan tertutup bersama Habib Umar bin Hafiz bersama ulama-ulama Negeri Sembilan bagi membincangkan penyatuan aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah di negeri tersebut. Majlis penuh barokah ini berlansung di Kompleks Saudara Baru As Sa’adah, Seremban bermula jam 5.40 petang sehingga jam 6.45 petang.

Antara ulama yang hadir pada majlis ini ialah Habib Umar bin Hafiz, Habib Ahmad Atthas, Syeikh Muhammad Nuruddin Al Banjari, Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Haji Nor Azamir Haji Alias dan Syeikh Raouf bin Nurin. Sempat Habib Umar menceritakan tentang kehebatan dan kemuliaan Imam 4 Mazhab iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal.

Semoga majlis ini mendapat memberikan manfaat kepada yang hadir dan dapat memantapkan lagi keimanan dan keyakinan kita terhadap Allah. Berharap juga agar majlis seperti ini dapat diperbanyakkan lagi demi penyatuan Ahlus Sunnah wal Jamaah, insya Allah.

Foto-foto sekitar majlis berlangsung.